Thursday, June 23, 2011

Rawatan dan Komplikasi Ekzema Atopik



Sebagai organ terbesar yang meliputi bahagian luar tubuh, tidak hairanlah sebarang masalah yang timbul pada kulit boleh menyebabkan penghidapnya terpaksa menanggung kesengsaraan dan tekanan perasaan.

Ekzema atopik adalah sejenis penyakit kulit akibat tindak balas hipersensitif yang menyebabkan radang, gatal-gatal, kulit kering dan bersisik. Penghidap ekzema tidak terkecuali mengalami tekanan perasaan dan gangguan emosi akibat masalah kulit yang keterlaluan ini.

Kanak-kanak dan Bayi

Penyakit yang berlaku pada pelbagai peringkat umur ini lebih kerap terjadi di kalangan bayi yang berusia kurang 2 tahun. Bagi kanak-kanak pula, mereka biasanya berumur antara 2 hingga 6 tahun.

Bayi yang menghidap ekzema akan menanggung kesengsaraan seperti rasa gatal yang berlebihan, pedih dan berasa resah.

Biasanya ekzema di kalangan kanak-kanak membabitkan bahagian lutut, pelipat, siku, atas punggung, buku lali dan di belakang telinga.

Pada peringkat bayi, biasanya masalah ini lebih kerap berlaku pada muka dan kulit kepala. Namun, apabila kanak-kanak ini berusia 18 bulan, ekzema ini lebih ketara pada bahagian pelipat siku dan belakang lutut.

Lepuhan

Ekzema berasal dari perkataan Greek - boiling - merujuk kepada lepuhan yang wujud di peringkat awal pada sejenis penyakit kulit yang gatal.

Penghidap ekzema atau juga dikenali sebagai ekzema atopik ini dipengaruhi penyakit genetik seperti asma dan resdung (rhinitis) yang diwarisi daripada ibu bapa mereka. Kajian mendapati, seorang dalam setiap 6 kanak-kanak dan seorang dalam 10 orang dewasa menghidap ekzema.

Di Amerika Syarikat, 3% penduduknya menghadapi masalah ini, manakala 10% terdiri daripada bayi. Terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan atau memburukkan ekzema. Ini termasuklah perubahan cuaca, tekanan emosi, hama, alahan terhadap sesetengah makanan atau perubahan cuaca yang cukup ketara.

Sehubungan itu, jika dilihat pada faktor ini, ekzema lebih ketara di kalangan kanak-kanak.

Tanda-tanda

Tanda-tanda utama seseorang menghidap penyakit ini ialah rasa gatal. Selain itu, lain-lain tanda yang dicirikan dengan penyakit ini termasuklah:

* Mengelupas

* Bersisik

* Kemerah-merahan

* Kulit yang kering

* Penebalan kulit

* Ada kalanya lepuhan juga terbentuk

Ekzema pada bayi lebih kerap berlaku pada kepala, muka dan tangan, manakala pada orang dewasa dan kanak-kanak di belakang lutut dan pelipat siku.

No comments: